Oleh : Marlinawaty Hussin / Foto : Azmah Haji Ahad
BERAKAS, Ahad, 15 Februari. - Seorang Al-Hafiz negara, Awang Muhammad Ekram 'Afif bin Haji Awang Mohd. Hanafi, iaitu alumni Ma'had Qiraat Shoubra, Universiti Al-Azhar, petang tadi berlepas meninggalkan Negara Brunei Darussalam (NBD) bagi memenuhi jemputan sebagai Imam Solat Sunat Tarawih di Japan Da'wah Centre (JDC), Osaka, Jepun, sepanjang bulan Ramadan 1447 Hijrah.
Beliau bersama 11 orang rakan huffaz dari Malaysia akan berkhidmat sebagai Imam Solat Sunat Tarawih di beberapa buah masjid dan balai ibadat sekitar bandar raya Osaka.
Mereka dijadualkan berada di Osaka selama 38 hari, iaitu bermula pada 16 Februari 2026 hingga 25 Mac 2026.
Sepanjang keberadaan di sana, Awang Muhammad Ekram 'Afif juga akan menyampaikan tazkirah kepada para jemaah, di samping terlibat secara aktif dalam pelbagai aktiviti kemasyarakatan dan program kerohanian yang dianjurkan oleh JDC, Osaka.
Turut mengiringi beliau ialah Pegawai Pelajaran Kanan, Pusat Pengajian dan Penyebaran Al-Quran (PPPQ) MABIMS, Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU), Awang Haji Mohammad Romeezy @ Abdul Qayyum bin Haji Metusin.
Program penghantaran Al-Hafiz NBD berkenaan bertujuan memberi peluang kepada para huffaz Al-Quran untuk mengaplikasikan kemahiran hafazan dan bacaan dalam konteks komuniti antarabangsa.
Pada masa yang sama, inisiatif berkenaan dihasratkan untuk melahirkan Imam Tarawih yang berkemahiran dan profesional, di samping meningkatkan keyakinan diri dalam penyampaian tazkirah serta pengisian rohani.
Program berkenaan merupakan usaha PPPQ MABIMS dengan kolaborasi IQRA' Centre for Ummah, Universiti Sains Islam Malaysia; dan JDC, Osaka.
Selain memperluaskan pengalaman dakwah di luar negara, usaha berkenaan juga berperanan untuk mengukuhkan jaringan kerjasama antara PPPQ MABIMS NBD dengan institusi-institusi antarabangsa yang terlibat.
Secara keseluruhannya, inisiatif berkenaan diyakini dapat memartabatkan syiar Islam serta memperkukuh imej institusi dan negara di persada antarabangsa.
Pelaksanaannya turut mendapat sokongan strategik dari Insurans Islam TAIB Holdings Sdn. Bhd. melalui sumbangan Skim Perlindungan Takaful Kembara, serta El-Abqari Travel & Tours Sdn. Bhd. yang menaja tiket penerbangan.